Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

1 Malaysia Bercanggah Dengan Parti Komponen BN

BESUT - Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu, yang juga Ketua penerangan Dewan Ulama' PAS Negeri Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata slogan 1Malaysia bercanggah dengan perjuangan parti-parti komponen utama Barisan Nasional (BN) termasuk Umno.

Oleh itu katanya, pemimpinan BN termasuk Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sesuai bercakap mengenai 1Malaysia

Ia adalah kerana menurutnya, UMNO jelas memperjuangkan nasib Melayu, manakala MCA memperjuangankan kaum Cina dan MIC hanya memperjuangankan kaum India sahaja yang samasekali bercanggah dengan konsep 1Malaysia.

“1Malaysia bercanggah dengan perjuangan UMNO sedangkan UMNO menentang kaum lain. Bila buat polisi, Umno hanya mementingkan kaum Melayu,

"sebagai contoh yang jelas dan terang, polisi perkhidmatan awam dan kenaikan pangkat, Umno hanya pentingkan orang-orang Melayu dan memingggirkan kaum-kaum lain,"ujarnya ketika dihubungi.

Katanya, perkara yang serupa berlaku apabila Menteri MCA atau MIC menguasai sesuatu kementerian, menjadi kebiasaan menteri-menteri tersebut 'bias' kerana mereka memperjuangankan kaum-kaum, bukannya 1Malaysia.

Justeru, beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat menyeru semua pemimpin BN berhenti bercakap tentang 1Malaysia bahkan pemimpin Umno, MCA dan MIC wajib menolak 1Malaysia, sehingga parti-parti komponen membetulkan halatuju parti masing-masing.

"Tak guna bercakap 1Malaysia sedangkan pemimpin Umno berkata kaum Cina adalah pendatang, menjadi pelacur dan kaum India juga kaum pendatang yang menjadi peminta sedekah,"jelasnya, mengulangi apa yang pernah diucapkan oleh pegawai Perdana Menteri tidak berapa lama dulu.

Pada masa sama, beliau berkata, 1Malaysia dilihat tiada hala tuju dan rmelihat pemimpin UMNO terpaksa mewujudkan slogan sedemikian kerana kaum-kaum lain berasa terpinggir akibat Umno hanya pentingkan Melayu.

“Apabila nasi sudah menjadi bubur, baru mereka mahu buat 1Malaysia sedangkan kaum lain sudah mula memberi undi dan perhatian kepada pembangkang,” katanya.

Sumber : DEWAN ULAMA PAS Negeri Terengganu

Pas Tetap Bincang Isu Hudud

KUALA TERENGGANU – Pas akan tetap membincangkan atau menyebut mengenai pelaksanaan syariat Islam seperti hudud di negara ini sekalipun menerima kritikan pelbagai pihak termasuk pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Penerangan Pas Terengganu, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh menegaskan, perkara tersebut sudah menjadi dasar parti itu dan meminta semua pihak faham terhadap perjuangan Pas.

“Isu yang menjadi syariat Islam sudah menjadi dasar Pas dan kita akan sentiasa sebut. Jadi, kita minta semua pihak faham kerana perkara ini tidak akan jadi masalah kalau semua saling faham memahami.:

“Hudud hanya membabitkan orang Islam dan tidak melibatkan orang bukan Islam, jadi mana-mana pihak seperti Lim Kit Siang tidak perlu melatah berhubung isu ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang sebelum ini terus mengulangi pendirian parti itu menolak idea mahu melaksanakan undang-undang hudud dan negara Islam atas alasan ia tidak pernah disentuh dalam Dasar Bersama PR.

Kenyataan dalam sebuah laman portal politik turut menyebut bahawa Kit Siang mempertahankan pendirian konsisten parti itu yang sentiasa menekankan bahawa Malaysia sebuah negara sekular, selain mempertahankan pendirian Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh.

Nik Zawawi berkata, kedua-dua pemimpin itu perlu memahami perkara tersebut sambil memberitahu undang-undang Islam lebih baik daripada sistem sedia ada.

“Perkara yang tidak disebut (dalam Dasar Bersama PR) bukan bermakna tiada, tetapi ia belum dibincangkan,” katanya.

Beliau yakin, perkara itu tidak akan mewujudkan bibit perpecahan dalam kalangan PR sebagaimana berlaku terhadap Barisan Alternatif dahulu apabila Pas dan DAP berpecah selepas isu hudud dan pelaksanaan negara Islam diberi pendedahan secara meluas.:

Pada masa sama, beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat meminta Kit Siang atau sesiapa sahaja bertemu Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapat penjelasan tepat berhubung isu itu.

“Isu ini daripada Mursyidul Am dan kita minta mereka bersemuka dengan Nik Aziz supaya faham apa yang dimaksudkan beliau sebelum ini,” katanya

Sedarkan Rakyat Dengan Isu Semasa

Rakyat perlu disedarkan dengan isu-isu politik semasa yang banyak berlaku dalam negara kita hari ini. Kesedaran rakyat adalah amat penting, agar rakyat dapat menilai dengan baik serta tepat terhadap isu-isu yang berlaku terutama sekali isu politik semasa.

Isu politik semasa hari ini mesti digarap supaya menjadi medan dakwah yang mengajak seluruh rakyat agar meletakkan sistem pemerintahan dalam negara di landasan yang sebenar.

Oleh itu, program-program penerangan perlu dipertingkatkan dan diperbanyakkan kepada seluruh rakyat dalam negeri Terengganu Darul Iman.

Dengan itu, rakyat negeri Terengganu akan memahami tuntutan dan keperluan semasa.

Satu tahap kesedaran yang tinggi mestilah dibina di kalangan rakyat terhadap isu-isu yang berlaku agar hasrat murni Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional berjaya dilaksanakan.

Justeru, Pakatan Rakyat mampu mentadbir negara dengan lebih baik dari kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui aktiviti serta program yang dirancang.

Kita mahukan sistem yang akan berjalan selepas daripada pilihan raya (PRU ke-13) nanti adalah satu sistem yang lebih baik, yang dipimpin dan yang didokong oleh Pakatan Rakyat, Insya’Allah.

Dalam konteks itu, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah merancang pelbagai altiviti dan program untuk kita (PAS) memperkenalkan kepada seluruh rakyat kelak

* Ucapan di Majlis Makan Malam Dana Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Terengganu

Dewan Ulama Sambut Iltizam Presiden PAS

KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) menerima baik iltizam PAS Pusat untuk bersama Pakatan Rakyat menuju Putrajaya seperti yang dihasratkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang.

Ketua Penerangan Dewan Ulama, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata bagi menjayakan hasrat tersebut, DUPP kini mengubah 'trend' pendekatan bagi memastikan PAS mampu memenangi hati masyarakat, jhususnya membabitkan golongan bukan Islam.

Beliau menjelaskan jika sebelum ini PAS lebih memfokuskan usaha dakwah kepada orang Islam, Ulama PAS kini mengepalai dalam urusan dakwah kepada golongan bukan Islam berdasarkan 2 penekanan & pendekatan.

"Pertamanya, kita menggerakkan dakwah dengan memberi kefahaman tentang Islam secara umum kepada golongan ini, dan keduanya jika mereka faham Islam, kita berusaha untuk membawa mereka memeluk Islam," jelas beliau kepada Harakah, 17 Jun lalu.

Bagaimanapun, kata Ustaz Nik Zawawi, tiada sebarang paksaan terhadap mereka sama ada ingin memeluk Islam atau sebaliknya.

Yang penting, katanya golongan sasaran ini tidak menolak & memusuhi Islam biarpun mereka tidak memeluk Islam kerana kebaikan & keindahan Islam masih boleh dinikmati mereka.

Menyentuh cara pendekatan ulama terhadap masyarakat, Ustaz Nik Zawawi berkata selain meneruskan pendekatan di surau & masjid, Ulama Pusat turut mengadakan program masyarakat dengan mengadakan beberapa program diskusi & dialog.

"Di Kelantan, khususnya Ulama, sudah mula turun padang dengan mengadakan diskusi berkaitan buku karangan Imam Yusof al-Qaradhawi yang bertajuk "Kedudukan Non-Muslim Dalam Masyarakat Islam" yang menerima sambutan & pemahaman yang baik daripada golongan bukan Islam," kata beliau.

Katanya, melalui diskusi tersebut ramai di kalangan bukan Islam yang sebelum ini 'allergic' dengan Islam sudah mula faham & menerima Islam.

Justeru, program berbentuk demikian akan diteruskan di negeri-negeri lain dalam usaha meningkatkan kefahaman terhadap golongan bukan Islam kepada Islam yang menjamin kesejahteraan umat.

Sumber : Harakah

Golongan Tidak Bertamadun

Hina Nabi Muhammad Yang Diiktiraf Dunia Pemimpin Agung
KUALA TERENGGANU – PAS menyifatkan individu atau golongan yang menghina Nabi Muhammad SAW yang diiktiraf sebagai pemimpin agung, adalah golongan tidak bertamadun.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, mereka yang melakukan perkara sedemikian dilihat tidak menghormati agama yang ada di dunia.

Menurutnya, individu terbabit bukan sahaja tidak faham agama lain, malah mereka juga tidak memahami ajaran agama sendiri.


“Kita percaya agama dia pun mengajar yang baik, begitu juga Kristian, Buddha dan sebagainya. Tiada agama yang cuba mengajar untuk hina nabi atau agama lain.

“Orang Islam tidak pernah menghina Kristian, Nabi Musa dan Nabi Isa,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas salah satu lakaran karikatur Nabi Muhammad SAW yang dilukis dengan muka manusia dan berbadan anjing oleh pelukis Sweden, Lars Vilks.

Nik Muhammad Zawawi yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat turut menyokong sekiranya umat Islam di negara ini memboikot membeli barangan negara itu.

Bagaimanapun, beliau khuatir sekiranya langkah memboikot barangan Sweeden itu tidak panjang kerana kebanyakan pengguna Melayu dan Islam di negara ini tidak tetap pendirian.

“Kita harap orang Islam boikot walaupun tidak tahu sampai bila kerana dahulu ada (kempen) boikot barangan Israel, Amerika dan Denmark tetapi hanya sekejap sahaja,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut meminta agar kerajaan sensitif dan serius mengajar agama lain supaya lebih menghormati Islam, selain memastikan rakyat di negara ini berjaya memboikot barangan negara terbabit, bertujuan memberi kesan ekonomi kepada mereka.

Sumber : http://www.buletinonline.net

Campurtangan Orang Politik antara Sebab Bumbung Stadium Runtuh

KUALA TERENGGANU – PAS yakin ada campur tangan ‘orang politik’ dalam pembinaan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada runtuhnya bumbung stadium tersebut, Jun tahun lalu.

“Saya percaya berlaku campur tangan politik, ditambah dengan individu berkepentingan kerana insiden runtuhan sedemikian tidak patut berlaku berikutan ia membabitkan wang rakyat,” kata Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.

Menurutnya, campur tangan itu menyebabkan kerja pembinaan tidak lancar dan pihak terbabit berkemungkinan tidak amanah serta tidak jujur.

Beliau berkata demikian kepada akhbar Sinar Harian, keika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sebelum ini bahawa semua pihak yang terbabit dalam pembinaan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, adalah penyumbang kepada insiden kejadian runtuhan bumbung stadium berkenaan.

Ahmad ketika membentangkan hasil laporan kejadian bumbung runtuh itu berkata, berdasarkan punca yang dikenal pasti melalui laporan terakhir Jawatankuasa Siasatan (IC), semua bahagian terbabit didapati melakukan kesilapan.

Nik Zawawi yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat turut menasihatkan Kerajaan Negeri supaya melaksanakan sistem tender terbuka bagi menggalakkan ketelusan dan menghindarkan amalan ‘kronisma’.

Katanya, pemantauan juga perlu dilakukan secara telus supaya kemudahan untuk kepentingan rakyat benar-benar dapat digunakan selari dengan matlamat pembinaannya.

“Mereka juga kena ingat bahawa pembinaan ini adalah harta rakyat dan mereka perlu bertanggungjawab sehingga akhirat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan supaya kontraktor diberi kursus dan motivasi keagamaan dalam usaha mewujudkan kekuatan rohani yang boleh memberi keharmonian kepada pengguna sekeliling.

Sumber : http://www.buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=1651:campurtangan-orang-politik-antara-sebab-bumbung-stadium-runtuh&catid=35:dalam-negeri&Itemid=85

Keluar Parti "Buang Buruk"

KUALA TERENGGANU, 8 Mac 2010 – Proses peralihan kerajaan sebagaimana sasaran Pakatan Rakyat (PR) tidak akan terjejas, walaupun terpaksa berhadapan dengan isu tindakan keluar parti beberapa wakil rakyat melibatkan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak belakangan ini.

Ketua Penerangan Pas Terengganu, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, mereka yang terbabit keluar parti ibarat ‘buang buruk’ yang tidak memberi sebarang kekurangan kepada pembangkang.

Menjelaskan perkara itu beliau berkata, kebiasaan pemimpin pembangkang yang keluar parti tidak disertai penyokongnya sebagaimana berlaku dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, Nik Muhammad Zawawi yakin perkembangan itu tidak akan menjejaskan matlamat mereka untuk mengambil alih kerajaan.

“Inilah yang memberi kelebihan dan keistimewaan kepada kita apabila pemimpin keluar parti, penyokong tidak ikut serta. Istilah yang sesuai adalah ‘buang buruk’ kerana yang keluar parti hanya individu tertentu sahaja.

“Sebaliknya, apabila pemimpin BN keluar parti, ramai yang akan ikut serta sebagaimana berlaku terhadap Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga menjejaskan UMNO sehingga ke hari ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan terbaru Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri yang mengumumkan keluar parti kelmarin dan menjadi wakil rakyat Bebas berkuat kuasa serta-merta.

Dalam masa sama, Bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim tetap dengan jangkaannya sebelum ini bahawa lebih 10 wakil rakyat akan keluar daripada parti tersebut.

Nik Muhammad Zawawi yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat melihat pemimpin yang keluar parti tidak akan ke mana dalam bidang politik.

Sebaliknya kata beliau, pemimpin itu akan dipandang negatif kerana tidak mampu menjalankan tugas dengan baik dalam parti dan dianggap tidak tetap pendirian.

Mengapa Utamakan 'Kulit' Bukan 'Isi'?

SAMBUTAN Maulidur Rasul bagi meraikan kelahiran Nabi Muhammad SAW pada setiap 12hb Rabi'ulawal & pada tahun ini hari bersejarah itu (akan) disambut pada 26hb Februari (nanti). Perarakan sempena kelahiran Baginda Rasulullah SAW (akan) dilangsungkan bahkan sudah menjadi amalan raasmi Kerajaan Persekutuan & sesetengah kerajaan negeri. Persoalannya, apakah dengan mengadakan perarakan semata-mata ianya sudah memadai bagi umat Islam menghayati syariat Nabi junjungan kita. Bagi Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh, tanpa penghayatan syariat umpama melihat 'kulit' Nabi sahaja. Ikuti interbiu Wartawan SALMIYAH HARUN bersama beliau.

HARAKAH: Macam mana konteks sebenar umat Islam mengimarahkan sambutan Maulidur Rasul?
USTAZ NIK ZAWAWI SALLEH: Sambutan Maulidur Rasul ini, yang pentingnya adalah penhayatan. Apa sahaja program yang kita buat tetapi biar kita faham. Perkara paling mustahak apabila kita sambut Maulidur Rasul ini kerana nak hayati syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Kalau sekadar nak tahu bila baginda lahir, itu tidak ada gunanya.

Umat Islam sewajarnya menyambut kelahiran baginda...adakah hanya melalui perarakan semata-mata?

Perarakan bukan tidak boleh buat. Ia memang boleh. Tetapi maknanya sembutan itu jangan berakhir dengan perarakan. Kerajaan kena anjurkan apa-apa program yang memberi kefahaman kepada masyarakat macam seminar, ceramah & sebagainya.
Supaya masyarakat memahami Maulidur Rasul adalah syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Sejauh mana kita mesti contohi & sebagai penilaian kita kena tahu setakat ini banyak mana kita amal syariat Rasulullah SAW.
Misalnya dalam konteks negara, masyarakat & individu. Kalau amalan kita itu banyak lagi tidak sempurna, oleh itu selepas daripada kita tahu akan tujuan sambutan Maulidur Rasul, kita mesti melaksanakan syariat itu.

Boleh Ustaz ceritakan bagaiman, para sahabat & pengikut Rasulullah SAW pada zaman baginda menyambut hari kelahiran pemimpin mereka?
Zaman Rasulullah SAW sambutan Maulidur Rasul tidak ada. Ini kerana pada zaman itu penghayatan Islam & pengamalan Islam berlaku secara sempurna. Setelah berlalunya 1 tempoh yang agak lama & Islam ini berkembang ke negara-negara bukan Arab, maka banyak masalah-masalah yang terjadi.
Kemudian pada zaman Kerajaan Fatimiyyah, maka berlakulah cadangan daripada para alim ulama zaman itu supaya kita menyambut hari-hari kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul, Israk dan Mikraj, dengan tujuan supaya kita menghayati syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Ini kerana pada zaman itu sudah ada manusia yang cuba meninggalkan syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Jadi bermula pada sinilah sambuan-sambutan hari kebesaran Islam ini diperkenalkan & cara sambutan itu berbagai-bagai.
Dengan car ceramah, bacaan al-Quran& hadis sebab mereka faham, macam kita di sini tidak faham, kena ceramah, forum, seminar & sebagainya.

Apa yang Ustaz rasa penting?
Yang penting & pokok pangkalnya mesti ke arah penghayatan kepada syariat
yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Kalau sekadar perarakan semata-mata sebagaimana yang dibuat oleh kerajaan, kemudian selepas itu tidak ada penghayatan & mereka meninggalkan syariat dari sudut perundangan, mahkamah, pendidikan, akhlak, budaya dilihat terlalu jauh dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Sambutan yang seumpama ini tidak memberi faedah kepada umat Islam bahkan ia akan lebih membawa fitnah yang banyak. Misalnya masyarakat non-muslim yang kita tahu yang mereka tidak faham agama Islam yang syumul itu, akan pandang serong.
Jadi apabila non-muslim lihat kononnya kita ini kuat dari segi menyambut Maulidur Rasul sekaligus akan menganggap Islam itu sempurna. Sedangkan mereka juga sedar rasuah pun banyak berlaku, penyalahgunaan kuasa, sistem kehakiman pun cacat, dasar pendidkan pun cacat & bermacam-macam lagi.

Akan mengelirukan bukan Islam tentang Islam?
Dalam masa yang sama non-muslim ini akan anggap suasana itulah Islam sebenarnya seolah-olah dari segi sambutannya itu hebatlah. Macam tilawah al-Quran, Maulidur Rasul, tetapi dalam waktu yang sama kita berlaku kecacatan yang banyak.
Orang bukan Islam tidak faham yang cacat itu bukannya Islam. Mereka akan memandang secara keseluruhan. Inilah yang dimaksudkan mengundang fitnah. Jadi yang paling mustahak adalah penghayatan & pengamalan kita terhadap syariat Rasulullah SAW.

Apa yang berlaku sekarang, kerajaan seolah-olah melihat apabila mengadakan perarakan ianya sudah jadi satu penghayatan kepada MAulidur Rasul. Bagaimana pula situasi ini Ustaz
?
Perarakan itu boleh. Tetapi ia hanya bersifat 'kulit' semata-mata, malangnya 'isi'nya tidak ada. Kalau kita hanya menghiaskan kulit tetapi isinya tidak ada, tiada apa-apa makna.
Macam buah durian, buahnya besar, kulitnya elok tetapi bila kita buka kulitnya, di dalam penuh dengan ulat. Sebab itu kita kena fokus kepada isi yang ada dalam sambutan Maulidur Rasul.

Kerajaan PAS Kelantan pun tidak pernah mengadakan perarakan Maulidur Rasul...
Ya tidak ada. Tidak ada dalil dalam mana-mana hadis. Cuma cara ini adalah sambutan yang berbentuk budaya di kalangan masyarakat Melayu. Bila tibanya Maulidur Rasul, kita pun berarak sambil berselawat. Ini budaya kita yang tidakbercanggah dengan agama. Boleh buat bukannya tidak boleh buat.

Malangnya, apabila ada ura-ura mengatakan perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang dibatalkan sekalu gus, mengandaikan kerajaan itu tidak peka dengan umat Islam. Apa pandangan Ustaz?
Penghayatan Maulidur Rasul bukan sekadar melakukan perarakan. Perarakan ini sebagai 'kulit' & kerajaan Pulau Pinang membenarkan ceramah-ceramah terbuka & umum di masjid, di padang atau di mana-mana sahaja. Saya kira ini lebih bermakna sebenarnya.
Perarakan ini mungkin didalangi UMNO, kalau kita lihat perarakan yang dibuat di Kuala Lumpur ianya untuk sambutan Maulidur Rasul. Tetapi banyak perkara yang bercanggah dengan Maulidur Rasul.
Misalnya perempuan yang tidak menutup aurat, tidak ada batas-batas pergaulan & hatta sambutan-sambutan yang dibuat, tidak ada pemantauan oleh ahli jawatankuasa sama ada sembahyang atau tidak, dalam masa yang sama membuat persiapan Maulidur Rasul yang mana ianya sunnah tetapi malangnya mereka tinggalkan perkara yang wajib. Macam bersembahyang, pergaulan bebas & banyak lagi.

Ini yang Ustaz maksudkan 'kulit' tadi?
Sebab itu saya menegaskan bahawa cara mengadakan perarakan Maulidur Rasul ini adalah 'kulit' semata-mata. Berarak panjang mana tetapi penghayatan tidak ada.
Program dalam bentuk ceramah, forum, inilah yang paling berkesan kepada masyarakat. Yang paling mustahak lagi ialah perlaksaan Islam, maknanya kalau Kerajaan Persekutuan hendak sambut Maulidur Rasul biarlah dia mengisyiharkan misalnya Undang-Undang Islam adalah undang-undang yang terbesar. Itu lebih bermakna.

Sumber : Harakah

Umno Sekadar Berarak Mengingati Tarikh Lahir Nabi

KUALA TERENGGANU, 17hb Februari 2010 – Pemimpin Umno dan pengikutnya sebenarnya tidak faham bagaimana sebenarnya amalan menghayati sambutan Maulidur Rasul SAW.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Mohammad Zawawi Nik Salleh berkata apa yang Umno buat setiap kali kedatangan bulan Rabiulawal sekadar ‘bermuka-muka’.

Katanya, Umno gagal mendidik pemimpin dan ahli-ahlinya dengan berkesan melalui penghayatan Maulidur Rasul.

“Umno buat (maulidur rasul) sekadar ‘bermuka-muka’ sahaja kononnya, Umno hendak menghayati Islam.

“Dalam masa sama, dia (Umno) menolak syariat Rasulullah SAW, tolak hukum Islam yang menjadi sebahagian dari kehidupan manusia,” jelasnya

Bahkan, katanya program sambutan dengan perarakan yang dilakukan itu tidak mendatangkan keinsafan kepada rakyat.

Beliau juga menjelaskan apa yang penting adalah penghayatan syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Menurutnya, program yang menjurus ke arah itu perlu dibuat bagi menerangkan kepada masyarakat tentang perjuangan, pelaksanaan syariat dan perundangan Islam.

“Sambutan Maulidur Rasul banyak cara boleh buat kerana yang penting umat Islam menghayati syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

“Program yang menjurus ke arah itu seperti ceramah, seminar, diskusi dan pameran yang menyedarkan masyarakat tentang sejarah Islam sebenar,” ujarnya.

Justeru itu, Ustaz Nik Zawawi menasihati umat Islam agar tidak hanya membuat perarakan sekadar untuk mengingati tarikh lahir Nabi SAW dan tahun gajah.

Sumber : http://www.buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=1546:umno-sekadar-berarak-mengingati-tarikh-lahir-nabi&catid=35:dalam-negeri&Itemid=85

Seminar Kewartawanan Islam "Media Baru"


KUALA TERENGGANU,6 FEBUARI 2010 - Seminar Kewartawanan Islam kali pertama berjaya diadakan di Markaz Tarbiyah Kuala Terengganu yang dirasmikan oleh Ketua Penenerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Dengan membawa tema ' Media Baru ' seminar ini berjaya menarik penyertaan daripada hampir 30 peserta yang berminat dalam bidang kewartawanan ini.

Dalam ucapan perasmian tersebut, Ust Nik Mohd Zawawi, telah memberi contoh bagaimana peranan wartawan dalam PRU ke-12 lepas dalam mencorakkan masyarakat dan sebagai kuasa penentu. Wartawan juga berperanan seperti sebuah kerajaan kedua yang boleh menaik dan menjatuhkan kerajaan sesebuah negara, tambahnya lagi.

Pengerusi seminar,Dr Azman Ibrahim selaku Ketua Penerbitan PAS negeri telah menyatakan bahawa antara objektif seminar antara lain adalah untuk melahirkan pelapor berita daripada peringkat kawasan dan seluruh DUN di negeri Terengganu.

Ketua pengarang Harakahdaily, Saudara Zulkifli Sulong semasa membentangkan kertas kerja 'Asas Penulisan Berita' mengharapkan agar peserta seminar akan turut menjadi agen kepada Harakahdaily dalam melaporkan berita khususnya berita dari Terengganu. Bengkel penulisan berita juga turut dikendalikan beliau bagi memberi kefahaman yang mendalam dalam penulisan berita yang berlainan seperti kemalangan,sukan dan politik.

Dalam tinjauan selepas program rata-rata peserta melahirkan rasa gembira mengikuti pembentangan daripada pembentang kertas kerja dan mengharapkan akan dapat diadakan lebih kerap lagi.

Saudara Azman Kadir, 27, peserta daripada DUN Air Putih,Kemaman berkata banyak manfaat daripada seminar ini dan banyak perkara baru dalam bidang penulisan yang dapat dipelajari. Beliau juga mengharapkan agar maklumat seminar selepas ini akan disalurkan terus kepada pesrta yang terpilih supaya lebih berkesan dalam kehadiran.

Sementara itu pula peserta dari Dun Sura, Dungun, Saudara Tengku Mohd Faisal Tengku Ambak, 35, berterima kasih kepada Penerangan BPPNT yang berjaya mengendalikan seminar ini. Banyak tip-tip yang beliau perolehi dalam membuat penulisan dan laporan berita di blog yang dikendalikannya.

Bagi memantapkan pembelajaran dalam bidang penulisan ini peserta telah diminta untuk membuat tugasan dengan melapor berita secara praktikal yang dikendalikan oleh wartawan Harakahdaily, Saudara Azmi Mohd Yusof.

Dalam tinjauan lain pula peserta dari Kawasan Dungun ,Saudara Saifuddin Abdul Rahman, 45, menyatakan seminar ini bagus bagi pendedahan untuk melahirkan rasa minat dalam bidang kewartawanan ini. Beliau menambah seminar ini akan dapat diaplikasikan dalam melapor berita semasa samada tempatan atau nasional secara lebih berkesan lagi.

"Seminar anjuran Jabatan Penerangan PAS Terengganu ini akan diadakan lagi pada masa akan datang bagi memantapkan lagi penulisan dan laporan berita" kata saudara Azmi Mohd Yusof selepas mengakhiri sesi latihan praktikal.

sumber : http://rantau08.blogspot.com/2010/02/seminar-kewartawanan-islam-media-baru.html

Ulama jelaskan isu ahli bersekutu yang dianggap ahli 'second class'

Harakah kali ini sempat menjejaki Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh untuk memperkatakan beberapa isu terkini. Pengarang Berita Harakah, Tarmizi Mohd Jam dan wartawan, Intan Abdullah telah menemubual beliau dan turut dirakamkan oleh webtv PAS di studio sementara, sempena Muktamar Tahunan dewan itu di Bangunan Perbandaran Ipoh, pada 14 Ogos lalu dan ia disiarkan oleh Harakah cetak Edisi Isnin, 18hb Ogos 2008.

Isu ahli bukan Islam atau ahli bersekutu yang disebut-sebut oleh perwakilan ketiga-tiga dewan cukup mendapat perhatian perwakilan. Barangkali Ustaz boleh jelaskan statusnya setakat ini?

Kalau kita lihat kepada kenyataan sebelum ini berhubung pemintaan masyarakat non-muslim, Cina, India dan Siam pada PAS di Malaysia. Kita sedar tanggungjawab PAS untuk beri penjelasan berhubung dasar perjuangan parti. Kita yakin apa yang dibawa adalah realistik untuk semua kaum. Ia mendapat sambutan baik daripada non muslim.

PAS telah mengadakan perbincangan dengan mereka yang dimulakan oleh Dewan Ulama tiga tahun lalu. Saya pun ada buat kertas kerja yang dibentangkan bukan sahaja hal yang melibatkan non-muslim sebagai ahli dalam jamaah Islam tetapi lebih daripada itu.

Apa yang kita kupas adalah sehingga ke tahap bagaimana padangan Islam kalau sekiranya mereka menjadi wakil rakyat yang bernaung di bawah tiket Islam. Kita tidak ada nas yang menghalang mereka daripada menganggotai jamaah Islam. Kita pastikan bahawa perkara ini melibatkan gerakan Islam kemudian kita serahkan kepada PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama.

Majlis Syura telah membincangkan perkara ini bukan sekadar ahli bersekutu malah sebagai ahli penuh, cuma tinggal lagi bila kita bincang pada lajnah politik dan pilihan raya kerana kita akan fikir bagaimana, apa yang kita buat ini akan memberi keuntungan kepada umat Islam dan parti Islam atau perkara ini berlaku sebaliknya.

Ini kerana penglibatan mereka ini, kita kena lihat sejauhmana mereka mahu terlibat dengan perjuangan Islam dan parti Islam. Adakah mereka datang bertemu dengan PAS di atas kesedaran bahawa Islam ini boleh memayungi mereka? Islam boleh menyelesaikan segala konflik yang berlaku dalam negara kita. Ataupun mereka datang semata-mata hendak membantah atau memprotes kerajaan Umno-BN.

Perkara ini sedang diambil perhatian oleh parti supaya kalau kita ambil mereka ini, tidak ada ahli yang protes dengan tindakan yang kita ambil kerana tidak faham dengan realiti dan kemungkinan keputusan yang dibuat tersebut tidak sesuai dengan waktu

Tapi walau bagaimanapun, ini suasana ini baik. Daripada segi pendekatan kita telah menubuhkan kelab penyokong PAS. Menampakkan mereka ramai bersama kita. Komitmen kita berikan melalui kelab ini. Kalau mereka tunjukkan prestasi yang baik, saya yakin pihak lajnah politik tidak keberatan ambil mereka sebagai ahli penuh dalam parti ini.

Tapi ada yang menyatakan bahawa mereka ini (non muslim) sebagai ahli bersekutu diberi tanggapan sebagai ahli 'second class'. Ini agak menyenakkan...

Saya telah menyuarakan perkara ini dalam mesyuarat-mesyuarat Dewan Ulama sebelum ini. Saya kurang bersetuju masyarakat non muslim diambil sebagai ahli bersekutu. Ini kerana, sudah tentulah pada perasaan mereka, dia boleh duduk di dalam parti tetapi dia tidak boleh mengundi. Itu pun jika tiada provokasi daripada pihak media.

Berdasarkan kenyataan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pulau Pinang bahawa PAS akan keluar daripada Pakatan Rakyat sekiranya Pakatan tidak mahu melaksanakan Islam setelah kerajaan BN berjaya ditumbangkan. Apa komen ustaz?

Berhubung dengan keputusan yang dibuat oleh Presiden, ia bukan suatu keputusan yang baru kerana ia telah sejak daripada PAS ditubuhkan lagi. Banyak pimpinan dan ahli PAS yang dipenjarakan kerana mempertahankan dasar perjuangan.

Matlamat perjuangan PAS adalah untuk menegakkan kerajaan Islam atau dengan bahasa lain kerajaan yang memberikan kebajikan kepada rakyat serta membela semua kaum. Jadi ini adalah matlamat perjuangan kita.

Penegasan ini telah diberikan oleh parti dan kita mengharapkan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat akan dapat memahami hal ini dengan baik kerana kita buat penegasan ini adalah untuk kebaikan dan kebajikan. Ini kerana kita yakin bahawa selain daripada sistem Islam ini, mustahil ada sistem yang dapat menyelesaikan konflik dan masalah dalam negara.

Kesemua isu jenayah, rasuah dan kelemahan ini berlaku kerana tiada suatu sistem di mana-mana negara pun, ini termasuk di negara membangun seperti Amerika syarikat. Tiada satu negara yang memiliki ideologi yang dapat menyelesaikan masalah-masalah ini semua.

Jadi kita perlu kembali kepada fitrah agama, sebab itu kita bertegas dan kita minta rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat fahami kenapa kita tetap mempertahankan dasar perjuangan ini. Jika mereka merasakan Islam tidak sesuai mereka boleh kemukakan hujah dan bukti, sebutkan sahaja. Kita bersedia mendengar hujah mereka mengenai hal tersebut. Agama yang baik untuk semua kaum.

Mereka tidak boleh tersinggung, kena berbincang. Soal dasar kita kena bertegas. Kalau kita menang nanti kita kena fikir persoalan agama dan kita tidak paksa mereka supaya memeluk agama Islam tetapi sekurang-kurangnya mereka mempunyai maklumat yang cukup mengenai negara Islam yang hendak kita perjuangkan. Kita bersedia untuk menerima sebarang perbincangan mengenai agama Islam. Kita terbuka.

Peralihan kerajaan akan berlaku, kita rasakan perkembangan yang baik. Kita yakin apa yang diperjuangkan yakni oleh Pakatan Rakyat. Waktu keghairahan untuk menukar kerajaan ini jangan kita lupa dengan tanggungjawab kita untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan kebajikan rakyat. Kalau tidak boleh terima dasar ini maka tiada gunalah kita berpakat.

Isu muzakarah dan muqabalah menjadi antara isu yang hangat diperkata di semua peringkat dalam parti. Malah masyarakat luar turut keliru dengan kenyataan dan pendirian PAS. Barangkali ustaz boleh jelaskan sedikit...

Sebenarnya ia bukan satu isu yang berlaku kerana perbincangan yang dibuat dengan Umno telah sekian lama dijalankan. Iaitu semasa cadangan pemansuhan ISA dahulu. Ini adalah salah satu daripada penjelasan wasilan dakwah kepada semua pihak.

Saya berpendapat bahawa isu ini bukanlah suatu isu yang besar. Cuma sekarang ini ia menjadi agak serius kerana kita bercakap dalam situasi Umno-BN ini berada dalam keadaan ketandusan pengaruh.

Sokongan yang dimiliki Umno-BN semakin menjunam. Masyarakat non-muslim sudah tidak lagi yakin dengan BN, begitu juga dengan MCA dan MIC menyebabkan mereka mengalihkan perhatian kepada parti pembangkang dan kita sedang bekerjasama dengan kumpulan pembangkang ini.

Tiba-tiba dalam isu ghairah masyarakat hendak menukar kerajaan pusat, berlaku pula dialog antara PAS dengan Umno. Berlaku pertemuan ini tidak seperti mana yang digembar-gemburkan oleh media.

Ia adalah perjumpaan biasa yang dibuat oleh pimpinan kita khususnya bagi membincangkan isu-isu terutama dalam perkara yang kalau PAS seorang sahaja tidak boleh selesaikan, dan kalau Umno seorang sahaja juga tidak boleh selesaikan terutamanya mengenai agama dan Melayu.

Kami tidak boleh memikirkan perkara ini secara berseorangan. Saya berpendapat ia adalah ruang yang baik untuk kita berbincang namun perbincangan ini bukan dalam bentuk kerjasama,. Kerjasama ini tidak pernah berlaku dan PAS tidak pernah berbincang untuk bekerjasama atau menyertai Umno.

Yang berlaku, kalau Umno nak masuk PAS. Itu ada. Saya tidak pernah mendapat makluman tentang PAS nak masuk Umno, sebaliknya mengenai kepimpinan Umno nak masuk PAS, memang ada.

Dari segi politik, kita lihat Umno menggunakan isu ini tetapi kita tidak melihat mereka mendapat sebarang kejayaan walaupun mereka cuba putar belit isu ini. Saya tegaskan bahawa kerjasama dengan Umno ini tidak ada. Kecuali berlaku senario politik yang tertentu dalam tanah air selepas ini.

Kita akan meneruskan rundingan dan perbincangan-perbincangan yang kita rasakan akan memberi keuntungan kepada parti kita.

Saya ingin sebutkan bahawa ahli-ahli PAS khususnya mengenai isu ini dapat memahami kenapa kita mengadakan muqabalah ini, supaya mengetepikan sebarang isu berkaitan muqabalah.

Dalam isu KeADILan bertemu wakil rakyat BN di Sabah dan Sarawak, begitu juga dengan PAS. Kita mencari sesiapa yang boleh menguatkan parti kita. Kita ada jumpa parti lain, tapi bila Umno, jadi isu.

Tapi isu ini mematangkan ahli PAS dan dengan sebab isu ini juga telah meningkatkan jumlah kehadiran dan mutu perbahasan muktamar.Ia akan jadi matang seterusnya menggerakkan jentera parti itu sendiri.

Ahli di peringkat bawahan pun akan membincangkan isu ini di kalangan mereka. Hatta di kedai kopi sekalipun, sebelum ini mereka membincangkan hal yang kurang bermanfaat. Cukup profesional dan pimpinan juga cukup bijak.

Dengan isu ini juga ahli di peringkat bawahan membincangkan isu yang secara profesional dan begitu ilmiah saya rasakan. Dan saya rasa mematangkan ahli. Tetapi pada akhirnya ia akan bertemu satu jawapan yang saya kira ia akan memberi kekuatan kepada parti itu sendiri.

Dewan Ulama sokong penuh kenyataan Presiden PAS

Dewan Ulama PAS Pusat amat prihatin dengan isu negara yang berlaku dan sentiasa memastikan agar ianya memberi kesan yang baik untuk Islam dan ummahnya.

Dewan Ulama juga berkeyakinan bahawa masyarakat Malaysia pada hari ini menaruh harapan yang tinggi kepada PAS untuk menerajui negara, bahkan telah ramai yang ingin melihat wujudnya Negara Islam atau negara berkebajikan yang sebenar yang memberi jaminan keamanan dan kesejahteraan kepada semua kaum dalam negara.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PAS sememangnya menggambarkan bahawa perjuangan PAS adalah jelas iaitu menyeru manusia ke arah yang maaruf dan berusaha menjauhkan manusia dari kemungkaran dan kezaliman.

Apa saja cara yang diajar oleh Islam itulah teori dan landasan yang dibawa oleh PAS. Pendekatan yang diambil oleh PAS dalam arena politik tanah air sememangnya berbagai-bagai dan PAS ternyata telah matang.

Dewan Ulama percaya bahawa semua ahli PAS seharusnya menyedari bahawa bertemu dan berbincang dengan mad’u yang mempunyai pelbagai latarbelakang adalah penting untuk memastikan sasaran dakwah dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Semua ahli diajar bahawa Tahalluf Siyaasi adalah satu juzuk yang penting dalam politik Islam. Ia mesti diguna pakai oleh Jamaah Islam seperti PAS agar dasar yang diperjuangkan oleh PAS dapat dihayati dengan lebih dekat oleh rakan-rakan di dalam gagasan tahaluf siyaasi ini.

Selain dari itu juga, kehadiran PAS dalam Pakatan Rakyat adalah perlu difahami dalam konteksnya yang luas.

Kerjasama yang dibuat oleh PAS amat jelas iaitu untuk menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran (Islam). Kerjasama dan pakatan yang boleh merealisasikan hasrat murni ini sudah pastinya akan terus dijulang oleh PAS.

Begitu juga sebaliknya kalau pakatan yang merugikan Islam dan perjuangannya pasti akan ditolak oleh PAS.

PAS bukannya parti yang melukut di tepian yang boleh diletakkan di mana-mana. Parti-parti lain yang turut mendukung cita-cita membentuk kerajaan baru di Malaysia pula perlu terlebih dahulu menjaga sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam di Malaysia.

Isu-isu syiar agama yang menjadi tuntutan dan prinsip kepada orang yang beragama Islam perlu juga difahami tahap sensitivitinya.

Wujudnya tuntutan untuk memperlahankan suara azan sebagai contohnya menunjukkan segelintir masyarakat masih tidak memahami urusan penting bagi umat Islam. Perkara ini sepatutnya difahami oleh semua kaum di Malaysia.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat

Isu Sensitif & Kontroversi Matangkan Semua Peringkat Parti

IPOH, 14 Ogos - Hikmah di sebalik kegawatan isu-isu sensitif dan kntroversi yang timbul membabitkan parti itu beserta parti-parti komponen Pakatan Rakyat dilihat akan mematangkan kepimpinan dan ahli PAS.

Kenyataan tersebut ditegaskan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Zawawi Salleh sambil menyatakan ianya sebagai suatu situasi yang positif dan memberangsangkan.

"Isu-isu ini akan mematangkan ahli dan kepimpinan parti sehingga kita melihat ahli-ahli kita sekarang ini hangat berbincang mengenai isu yang besar dan berisi di kedai-kedai kopi," katanya pada slot Sesi Cakap-Cakap WebtV PAS menerusi satu rakaman tertunda di studio Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat bersama Pengarang Berita Harakah, Tarmizi Mohd Jam petang tadi.

Malah katanya lagi, persidangan tahunan dewan ulama pada kali ini turut berupaya menarik perhatian banyak pihak khususnya para media massa.

"Ahli kita sekarang berbincang mengenai perkara besar dan serius di kedai kopi, sekaligus mengelakkan mereka daripada bercakap hal-hal yang tidak berfaedah," katanya.

Mengulas berhubung isu muzakarah dan muqabalah, beliau menyatakan kehairanan kesungguhan pihak tertentu mengenai pertemuan PAS dengan Umno yang digembar-gemburkan oleh media.

"Saya hairan kerana kenapa bila kita (PAS) buat perjumpaan dengan Umno sama ada rasmi atau tidak ianya dipolitikkan bahkan dijadikan isu sensitif.

"Sedangkan ada juga parti pembangkang lain yang buat pertemuan dengan Umno-BN, tetapi orang tak bising pun," ujarnya.

Tambahnya lagi, pertemuan yang diadakan bersama Umno-BN sebelum ini adalah perjumpaan biasa yang hanya menyentuh hal agama dan rakyat.

"Setakat ini, tidak ada sebarang rundingan berhubung hal untuk membentuk kerjasama dalam pemerintahan. Saya tegaskan di sini, ia hanya perbincangan bukan kerjasama," katanya lagi.

Malah katanya, beliau sedia maklum banyak pihak yang sangsi dengan isu ini kerana dalam keghairahan rakyat berhasrat mahu menukar kerajaan yang sedia ada PAS pula mahu mengadakan muzakarah dengan Umno-BN.

Nik Zawawi turut melahirkan kekesalan terhadap kekeliruan yang timbul mengenai isu ini sehingga mencetuskan polemik kepada senario politik tanah air.

Persidangan Dewan Ulama PAS Pusat dijangka berakhir jam 5 petang ini.

Sumber : http://muktamar54.pas.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=62&Itemid=27

Agenda Nasional dan Antarabangsa disentuh oleh Dewan Ulama

IPOH, 17 Ogos 2008 – Wakil Dewan Ulama, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh di dalam ucapan perbahasan Ucapan Dasar Presiden petang semalam telah menyentuh tentang beberapa perkara yang penting.

Antara lainnya, beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden yang telah berjaya mengemukakan satu perutusan yang telus.

Selain itu, beliau mengharapkan semua ahli faham dan mengambil berat soal pemerkasaan parti yang merupakan tonggak di dalam perjuangan PAS. Perjuangan parti ialah perjuangan Islam yang sudah lengkap segala-galanya, pembelaan kaum, agama, kebebasan bersuara dan keluasan politik.

Beliau juga menekankan bahawa medan perjuangan PAS adalah sangat luas dan perlukan fokus kepada kedua-dua agenda nasional dan antarabangsa.

"Urusan tarbiyyah juga amat perlu ditekankan oleh semua kerana cacatnya tarbiyyah boleh menyebabkan parti kalah dalam menangani isu-isu lain".

"Soal kemantapan jemaah turut disebut beliau terutama dalam urusan tarbiyyah dan kesatuan fikrah yang seharusnya benar-benar wujud di dalam parti," katanya lagi.

Berkenaan bilangan kerusi di Dewan Rakyat, kata beliau, Non-Muslim menguasai lebih dari 70 kerusi sedangkan Islam hanya menguasai 43 sahaja.

Ustaz Nik Zawawi turut menegaskan bahawa PAS tidak akan sekali-kali bersama dengan UMNO.

Akhirnya beliau menyentuh tentang keputusan Majlis Syura Ulama berkenaan muqabalah dengan UMNO. Tegas beliau keputusan syura Majlis Syura Ulama adalah keputusan yang wajib diikuti oleh semua.

”Inilah rahsia kekuatan parti.” kata beliau.

Sebagi peringatan beliau mengingatkan ahli sentiasa bermuhasabah, wajib menerima semua keputusan Majlis Syura dan tidak sesekali ”ada mesyuarat selepas mesyuarat” kerana perbuatan tersebut adalah satu pengkhianatan kepada parti.

Beliau mencadangkan agar semua dewan-dewan berganding bahu untuk memastikan masa depan Islam lebih cerah di Malaysia.

"Selain itu, parti perlu membina satu rangkaian gerakan Islam antarabangsa dan mungkin PAS boleh menjadi ketua gerakan tersebut," tambah beliau.

"Dalam bidang ekonomi juga, kita memerlukan satu hub pelaburan antarabangsa untuk menarik pelabur asing dan membina keyakinan mereka terhadap kemampuan PAS untuk memerintah dunia suatu hari nanti," cadang beliau mengakhiri ucapan.

Sumber : http://muktamar54.pas.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=137&Itemid=26

Ulamak PAS diingatkan jangan terlalu ghairah dengan kemenangan

KANGAR, 27 Jun 2008 (Hrkh) - Peranan Dewan Ulama PAS semakin mencabar berikutan kemenangan besar PAS bersama-sama parti-parti Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

Justeru, ulama di dalam PAS ditagih untuk mendepani suasana yang baru ini agar apa yang dibuat tidak bercanggah dengan perintah Allah dan perjuangan yang dibawa PAS tidak berdepan dengan masalah, demikian seruan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Hj. Nik Mohd Zawawi Hj. Salleh.

"Kememnangan dalm pilihan raya baru-baru ini adalah hasil daya usaha dan kerja kuat kita sendiri di samping pertolongan Allah.

"Keadaan ini amat unik dikala umat Islam di tempat lain sedang berdepan dengan pertembungan dengan golongan bukan Islam. Tapi di negara ini, dalam keadaan negara dilanda krisis yang teruk seperti jenayah, gejala sosial dan lain-lainnya masyarakat bukan Islam dapat menerima PAS.

"Ini kerana mereka dapat melihat sistem yang sedia ada gagal dan mereka mencari alternatif lain untuk memimpin rakyat di negara ini," katanya berucap merasmikan Muktamar Dewan ulama PAS Perlis kali ke-31 di sebuah hotel dekat sini Sabtu lalu.

Namun begitu, bagi seluruh kepimpinan dan ahli-ahli PAS, beliau memberi peringatan agar tidak terlalu ghairah dengan kemenangan yang dicapai kerana dalam perjuangan PAS, kemenangan bukanlah matlamat utama.

"Kita dah lihat banyak contoh di negara luar, apabila kita ghairah mencari kemenangan, hukum-hukum agama mula dianggap remeh. Jangan kita meletakkan kemenangan di hadapan seolah-olah kemenangan adalah matlamat kita sehingga melupakan asas perjuangan sebenar.

"Justeru, Dewan Ulama di semua peringkat mesti lebih berwibawa dan lebih banyak merancang.

"Inilah cabaran untuk kita semua kerana dalam saf perjuangan kita, ulama harus ke depan. Tanpa kepimpinan ulama, dibimbangi satu masa nanti al-Quran dan hadis akaan diketepikan.

"Kalau ulama berada di belakang nescaya kita ketinggalan dan gerakan Islam akan terumbang-ambing. Kita bimbang kerana dalam masa kemenangan inilah akan meletakkan kita lebih dekat dengan jurang api neraka sedangkan semasa kalah kita lebih dekat dengan syurga," katanya.

Sumber : http://ulamak.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=43:ulamak-pas-diingatkan-jangan-terlalu-ghairah-dengan-kemenangan&catid=17&Itemid=19