Seminar Kewartawanan Islam "Media Baru"


KUALA TERENGGANU,6 FEBUARI 2010 - Seminar Kewartawanan Islam kali pertama berjaya diadakan di Markaz Tarbiyah Kuala Terengganu yang dirasmikan oleh Ketua Penenerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Dengan membawa tema ' Media Baru ' seminar ini berjaya menarik penyertaan daripada hampir 30 peserta yang berminat dalam bidang kewartawanan ini.

Dalam ucapan perasmian tersebut, Ust Nik Mohd Zawawi, telah memberi contoh bagaimana peranan wartawan dalam PRU ke-12 lepas dalam mencorakkan masyarakat dan sebagai kuasa penentu. Wartawan juga berperanan seperti sebuah kerajaan kedua yang boleh menaik dan menjatuhkan kerajaan sesebuah negara, tambahnya lagi.

Pengerusi seminar,Dr Azman Ibrahim selaku Ketua Penerbitan PAS negeri telah menyatakan bahawa antara objektif seminar antara lain adalah untuk melahirkan pelapor berita daripada peringkat kawasan dan seluruh DUN di negeri Terengganu.

Ketua pengarang Harakahdaily, Saudara Zulkifli Sulong semasa membentangkan kertas kerja 'Asas Penulisan Berita' mengharapkan agar peserta seminar akan turut menjadi agen kepada Harakahdaily dalam melaporkan berita khususnya berita dari Terengganu. Bengkel penulisan berita juga turut dikendalikan beliau bagi memberi kefahaman yang mendalam dalam penulisan berita yang berlainan seperti kemalangan,sukan dan politik.

Dalam tinjauan selepas program rata-rata peserta melahirkan rasa gembira mengikuti pembentangan daripada pembentang kertas kerja dan mengharapkan akan dapat diadakan lebih kerap lagi.

Saudara Azman Kadir, 27, peserta daripada DUN Air Putih,Kemaman berkata banyak manfaat daripada seminar ini dan banyak perkara baru dalam bidang penulisan yang dapat dipelajari. Beliau juga mengharapkan agar maklumat seminar selepas ini akan disalurkan terus kepada pesrta yang terpilih supaya lebih berkesan dalam kehadiran.

Sementara itu pula peserta dari Dun Sura, Dungun, Saudara Tengku Mohd Faisal Tengku Ambak, 35, berterima kasih kepada Penerangan BPPNT yang berjaya mengendalikan seminar ini. Banyak tip-tip yang beliau perolehi dalam membuat penulisan dan laporan berita di blog yang dikendalikannya.

Bagi memantapkan pembelajaran dalam bidang penulisan ini peserta telah diminta untuk membuat tugasan dengan melapor berita secara praktikal yang dikendalikan oleh wartawan Harakahdaily, Saudara Azmi Mohd Yusof.

Dalam tinjauan lain pula peserta dari Kawasan Dungun ,Saudara Saifuddin Abdul Rahman, 45, menyatakan seminar ini bagus bagi pendedahan untuk melahirkan rasa minat dalam bidang kewartawanan ini. Beliau menambah seminar ini akan dapat diaplikasikan dalam melapor berita semasa samada tempatan atau nasional secara lebih berkesan lagi.

"Seminar anjuran Jabatan Penerangan PAS Terengganu ini akan diadakan lagi pada masa akan datang bagi memantapkan lagi penulisan dan laporan berita" kata saudara Azmi Mohd Yusof selepas mengakhiri sesi latihan praktikal.

sumber : http://rantau08.blogspot.com/2010/02/seminar-kewartawanan-islam-media-baru.html