Agenda Nasional dan Antarabangsa disentuh oleh Dewan Ulama

IPOH, 17 Ogos 2008 – Wakil Dewan Ulama, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh di dalam ucapan perbahasan Ucapan Dasar Presiden petang semalam telah menyentuh tentang beberapa perkara yang penting.

Antara lainnya, beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden yang telah berjaya mengemukakan satu perutusan yang telus.

Selain itu, beliau mengharapkan semua ahli faham dan mengambil berat soal pemerkasaan parti yang merupakan tonggak di dalam perjuangan PAS. Perjuangan parti ialah perjuangan Islam yang sudah lengkap segala-galanya, pembelaan kaum, agama, kebebasan bersuara dan keluasan politik.

Beliau juga menekankan bahawa medan perjuangan PAS adalah sangat luas dan perlukan fokus kepada kedua-dua agenda nasional dan antarabangsa.

"Urusan tarbiyyah juga amat perlu ditekankan oleh semua kerana cacatnya tarbiyyah boleh menyebabkan parti kalah dalam menangani isu-isu lain".

"Soal kemantapan jemaah turut disebut beliau terutama dalam urusan tarbiyyah dan kesatuan fikrah yang seharusnya benar-benar wujud di dalam parti," katanya lagi.

Berkenaan bilangan kerusi di Dewan Rakyat, kata beliau, Non-Muslim menguasai lebih dari 70 kerusi sedangkan Islam hanya menguasai 43 sahaja.

Ustaz Nik Zawawi turut menegaskan bahawa PAS tidak akan sekali-kali bersama dengan UMNO.

Akhirnya beliau menyentuh tentang keputusan Majlis Syura Ulama berkenaan muqabalah dengan UMNO. Tegas beliau keputusan syura Majlis Syura Ulama adalah keputusan yang wajib diikuti oleh semua.

”Inilah rahsia kekuatan parti.” kata beliau.

Sebagi peringatan beliau mengingatkan ahli sentiasa bermuhasabah, wajib menerima semua keputusan Majlis Syura dan tidak sesekali ”ada mesyuarat selepas mesyuarat” kerana perbuatan tersebut adalah satu pengkhianatan kepada parti.

Beliau mencadangkan agar semua dewan-dewan berganding bahu untuk memastikan masa depan Islam lebih cerah di Malaysia.

"Selain itu, parti perlu membina satu rangkaian gerakan Islam antarabangsa dan mungkin PAS boleh menjadi ketua gerakan tersebut," tambah beliau.

"Dalam bidang ekonomi juga, kita memerlukan satu hub pelaburan antarabangsa untuk menarik pelabur asing dan membina keyakinan mereka terhadap kemampuan PAS untuk memerintah dunia suatu hari nanti," cadang beliau mengakhiri ucapan.

Sumber : http://muktamar54.pas.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=137&Itemid=26