Dewan Ulama Sambut Iltizam Presiden PAS

KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) menerima baik iltizam PAS Pusat untuk bersama Pakatan Rakyat menuju Putrajaya seperti yang dihasratkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang.

Ketua Penerangan Dewan Ulama, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata bagi menjayakan hasrat tersebut, DUPP kini mengubah 'trend' pendekatan bagi memastikan PAS mampu memenangi hati masyarakat, jhususnya membabitkan golongan bukan Islam.

Beliau menjelaskan jika sebelum ini PAS lebih memfokuskan usaha dakwah kepada orang Islam, Ulama PAS kini mengepalai dalam urusan dakwah kepada golongan bukan Islam berdasarkan 2 penekanan & pendekatan.

"Pertamanya, kita menggerakkan dakwah dengan memberi kefahaman tentang Islam secara umum kepada golongan ini, dan keduanya jika mereka faham Islam, kita berusaha untuk membawa mereka memeluk Islam," jelas beliau kepada Harakah, 17 Jun lalu.

Bagaimanapun, kata Ustaz Nik Zawawi, tiada sebarang paksaan terhadap mereka sama ada ingin memeluk Islam atau sebaliknya.

Yang penting, katanya golongan sasaran ini tidak menolak & memusuhi Islam biarpun mereka tidak memeluk Islam kerana kebaikan & keindahan Islam masih boleh dinikmati mereka.

Menyentuh cara pendekatan ulama terhadap masyarakat, Ustaz Nik Zawawi berkata selain meneruskan pendekatan di surau & masjid, Ulama Pusat turut mengadakan program masyarakat dengan mengadakan beberapa program diskusi & dialog.

"Di Kelantan, khususnya Ulama, sudah mula turun padang dengan mengadakan diskusi berkaitan buku karangan Imam Yusof al-Qaradhawi yang bertajuk "Kedudukan Non-Muslim Dalam Masyarakat Islam" yang menerima sambutan & pemahaman yang baik daripada golongan bukan Islam," kata beliau.

Katanya, melalui diskusi tersebut ramai di kalangan bukan Islam yang sebelum ini 'allergic' dengan Islam sudah mula faham & menerima Islam.

Justeru, program berbentuk demikian akan diteruskan di negeri-negeri lain dalam usaha meningkatkan kefahaman terhadap golongan bukan Islam kepada Islam yang menjamin kesejahteraan umat.

Sumber : Harakah