Ulama jelaskan isu ahli bersekutu yang dianggap ahli 'second class'

Harakah kali ini sempat menjejaki Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh untuk memperkatakan beberapa isu terkini. Pengarang Berita Harakah, Tarmizi Mohd Jam dan wartawan, Intan Abdullah telah menemubual beliau dan turut dirakamkan oleh webtv PAS di studio sementara, sempena Muktamar Tahunan dewan itu di Bangunan Perbandaran Ipoh, pada 14 Ogos lalu dan ia disiarkan oleh Harakah cetak Edisi Isnin, 18hb Ogos 2008.

Isu ahli bukan Islam atau ahli bersekutu yang disebut-sebut oleh perwakilan ketiga-tiga dewan cukup mendapat perhatian perwakilan. Barangkali Ustaz boleh jelaskan statusnya setakat ini?

Kalau kita lihat kepada kenyataan sebelum ini berhubung pemintaan masyarakat non-muslim, Cina, India dan Siam pada PAS di Malaysia. Kita sedar tanggungjawab PAS untuk beri penjelasan berhubung dasar perjuangan parti. Kita yakin apa yang dibawa adalah realistik untuk semua kaum. Ia mendapat sambutan baik daripada non muslim.

PAS telah mengadakan perbincangan dengan mereka yang dimulakan oleh Dewan Ulama tiga tahun lalu. Saya pun ada buat kertas kerja yang dibentangkan bukan sahaja hal yang melibatkan non-muslim sebagai ahli dalam jamaah Islam tetapi lebih daripada itu.

Apa yang kita kupas adalah sehingga ke tahap bagaimana padangan Islam kalau sekiranya mereka menjadi wakil rakyat yang bernaung di bawah tiket Islam. Kita tidak ada nas yang menghalang mereka daripada menganggotai jamaah Islam. Kita pastikan bahawa perkara ini melibatkan gerakan Islam kemudian kita serahkan kepada PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama.

Majlis Syura telah membincangkan perkara ini bukan sekadar ahli bersekutu malah sebagai ahli penuh, cuma tinggal lagi bila kita bincang pada lajnah politik dan pilihan raya kerana kita akan fikir bagaimana, apa yang kita buat ini akan memberi keuntungan kepada umat Islam dan parti Islam atau perkara ini berlaku sebaliknya.

Ini kerana penglibatan mereka ini, kita kena lihat sejauhmana mereka mahu terlibat dengan perjuangan Islam dan parti Islam. Adakah mereka datang bertemu dengan PAS di atas kesedaran bahawa Islam ini boleh memayungi mereka? Islam boleh menyelesaikan segala konflik yang berlaku dalam negara kita. Ataupun mereka datang semata-mata hendak membantah atau memprotes kerajaan Umno-BN.

Perkara ini sedang diambil perhatian oleh parti supaya kalau kita ambil mereka ini, tidak ada ahli yang protes dengan tindakan yang kita ambil kerana tidak faham dengan realiti dan kemungkinan keputusan yang dibuat tersebut tidak sesuai dengan waktu

Tapi walau bagaimanapun, ini suasana ini baik. Daripada segi pendekatan kita telah menubuhkan kelab penyokong PAS. Menampakkan mereka ramai bersama kita. Komitmen kita berikan melalui kelab ini. Kalau mereka tunjukkan prestasi yang baik, saya yakin pihak lajnah politik tidak keberatan ambil mereka sebagai ahli penuh dalam parti ini.

Tapi ada yang menyatakan bahawa mereka ini (non muslim) sebagai ahli bersekutu diberi tanggapan sebagai ahli 'second class'. Ini agak menyenakkan...

Saya telah menyuarakan perkara ini dalam mesyuarat-mesyuarat Dewan Ulama sebelum ini. Saya kurang bersetuju masyarakat non muslim diambil sebagai ahli bersekutu. Ini kerana, sudah tentulah pada perasaan mereka, dia boleh duduk di dalam parti tetapi dia tidak boleh mengundi. Itu pun jika tiada provokasi daripada pihak media.

Berdasarkan kenyataan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pulau Pinang bahawa PAS akan keluar daripada Pakatan Rakyat sekiranya Pakatan tidak mahu melaksanakan Islam setelah kerajaan BN berjaya ditumbangkan. Apa komen ustaz?

Berhubung dengan keputusan yang dibuat oleh Presiden, ia bukan suatu keputusan yang baru kerana ia telah sejak daripada PAS ditubuhkan lagi. Banyak pimpinan dan ahli PAS yang dipenjarakan kerana mempertahankan dasar perjuangan.

Matlamat perjuangan PAS adalah untuk menegakkan kerajaan Islam atau dengan bahasa lain kerajaan yang memberikan kebajikan kepada rakyat serta membela semua kaum. Jadi ini adalah matlamat perjuangan kita.

Penegasan ini telah diberikan oleh parti dan kita mengharapkan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat akan dapat memahami hal ini dengan baik kerana kita buat penegasan ini adalah untuk kebaikan dan kebajikan. Ini kerana kita yakin bahawa selain daripada sistem Islam ini, mustahil ada sistem yang dapat menyelesaikan konflik dan masalah dalam negara.

Kesemua isu jenayah, rasuah dan kelemahan ini berlaku kerana tiada suatu sistem di mana-mana negara pun, ini termasuk di negara membangun seperti Amerika syarikat. Tiada satu negara yang memiliki ideologi yang dapat menyelesaikan masalah-masalah ini semua.

Jadi kita perlu kembali kepada fitrah agama, sebab itu kita bertegas dan kita minta rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat fahami kenapa kita tetap mempertahankan dasar perjuangan ini. Jika mereka merasakan Islam tidak sesuai mereka boleh kemukakan hujah dan bukti, sebutkan sahaja. Kita bersedia mendengar hujah mereka mengenai hal tersebut. Agama yang baik untuk semua kaum.

Mereka tidak boleh tersinggung, kena berbincang. Soal dasar kita kena bertegas. Kalau kita menang nanti kita kena fikir persoalan agama dan kita tidak paksa mereka supaya memeluk agama Islam tetapi sekurang-kurangnya mereka mempunyai maklumat yang cukup mengenai negara Islam yang hendak kita perjuangkan. Kita bersedia untuk menerima sebarang perbincangan mengenai agama Islam. Kita terbuka.

Peralihan kerajaan akan berlaku, kita rasakan perkembangan yang baik. Kita yakin apa yang diperjuangkan yakni oleh Pakatan Rakyat. Waktu keghairahan untuk menukar kerajaan ini jangan kita lupa dengan tanggungjawab kita untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan kebajikan rakyat. Kalau tidak boleh terima dasar ini maka tiada gunalah kita berpakat.

Isu muzakarah dan muqabalah menjadi antara isu yang hangat diperkata di semua peringkat dalam parti. Malah masyarakat luar turut keliru dengan kenyataan dan pendirian PAS. Barangkali ustaz boleh jelaskan sedikit...

Sebenarnya ia bukan satu isu yang berlaku kerana perbincangan yang dibuat dengan Umno telah sekian lama dijalankan. Iaitu semasa cadangan pemansuhan ISA dahulu. Ini adalah salah satu daripada penjelasan wasilan dakwah kepada semua pihak.

Saya berpendapat bahawa isu ini bukanlah suatu isu yang besar. Cuma sekarang ini ia menjadi agak serius kerana kita bercakap dalam situasi Umno-BN ini berada dalam keadaan ketandusan pengaruh.

Sokongan yang dimiliki Umno-BN semakin menjunam. Masyarakat non-muslim sudah tidak lagi yakin dengan BN, begitu juga dengan MCA dan MIC menyebabkan mereka mengalihkan perhatian kepada parti pembangkang dan kita sedang bekerjasama dengan kumpulan pembangkang ini.

Tiba-tiba dalam isu ghairah masyarakat hendak menukar kerajaan pusat, berlaku pula dialog antara PAS dengan Umno. Berlaku pertemuan ini tidak seperti mana yang digembar-gemburkan oleh media.

Ia adalah perjumpaan biasa yang dibuat oleh pimpinan kita khususnya bagi membincangkan isu-isu terutama dalam perkara yang kalau PAS seorang sahaja tidak boleh selesaikan, dan kalau Umno seorang sahaja juga tidak boleh selesaikan terutamanya mengenai agama dan Melayu.

Kami tidak boleh memikirkan perkara ini secara berseorangan. Saya berpendapat ia adalah ruang yang baik untuk kita berbincang namun perbincangan ini bukan dalam bentuk kerjasama,. Kerjasama ini tidak pernah berlaku dan PAS tidak pernah berbincang untuk bekerjasama atau menyertai Umno.

Yang berlaku, kalau Umno nak masuk PAS. Itu ada. Saya tidak pernah mendapat makluman tentang PAS nak masuk Umno, sebaliknya mengenai kepimpinan Umno nak masuk PAS, memang ada.

Dari segi politik, kita lihat Umno menggunakan isu ini tetapi kita tidak melihat mereka mendapat sebarang kejayaan walaupun mereka cuba putar belit isu ini. Saya tegaskan bahawa kerjasama dengan Umno ini tidak ada. Kecuali berlaku senario politik yang tertentu dalam tanah air selepas ini.

Kita akan meneruskan rundingan dan perbincangan-perbincangan yang kita rasakan akan memberi keuntungan kepada parti kita.

Saya ingin sebutkan bahawa ahli-ahli PAS khususnya mengenai isu ini dapat memahami kenapa kita mengadakan muqabalah ini, supaya mengetepikan sebarang isu berkaitan muqabalah.

Dalam isu KeADILan bertemu wakil rakyat BN di Sabah dan Sarawak, begitu juga dengan PAS. Kita mencari sesiapa yang boleh menguatkan parti kita. Kita ada jumpa parti lain, tapi bila Umno, jadi isu.

Tapi isu ini mematangkan ahli PAS dan dengan sebab isu ini juga telah meningkatkan jumlah kehadiran dan mutu perbahasan muktamar.Ia akan jadi matang seterusnya menggerakkan jentera parti itu sendiri.

Ahli di peringkat bawahan pun akan membincangkan isu ini di kalangan mereka. Hatta di kedai kopi sekalipun, sebelum ini mereka membincangkan hal yang kurang bermanfaat. Cukup profesional dan pimpinan juga cukup bijak.

Dengan isu ini juga ahli di peringkat bawahan membincangkan isu yang secara profesional dan begitu ilmiah saya rasakan. Dan saya rasa mematangkan ahli. Tetapi pada akhirnya ia akan bertemu satu jawapan yang saya kira ia akan memberi kekuatan kepada parti itu sendiri.