KANGAR, 27 Jun 2008 (Hrkh) - Peranan Dewan Ulama PAS semakin mencabar berikutan kemenangan besar PAS bersama-sama parti-parti Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.
Justeru, ulama di dalam PAS ditagih untuk mendepani suasana yang baru ini agar apa yang dibuat tidak bercanggah dengan perintah Allah dan perjuangan yang dibawa PAS tidak berdepan dengan masalah, demikian seruan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Hj. Nik Mohd Zawawi Hj. Salleh.
"Kememnangan dalm pilihan raya baru-baru ini adalah hasil daya usaha dan kerja kuat kita sendiri di samping pertolongan Allah.
"Keadaan ini amat unik dikala umat Islam di tempat lain sedang berdepan dengan pertembungan dengan golongan bukan Islam. Tapi di negara ini, dalam keadaan negara dilanda krisis yang teruk seperti jenayah, gejala sosial dan lain-lainnya masyarakat bukan Islam dapat menerima PAS.
"Ini kerana mereka dapat melihat sistem yang sedia ada gagal dan mereka mencari alternatif lain untuk memimpin rakyat di negara ini," katanya berucap merasmikan Muktamar Dewan ulama PAS Perlis kali ke-31 di sebuah hotel dekat sini Sabtu lalu.
Namun begitu, bagi seluruh kepimpinan dan ahli-ahli PAS, beliau memberi peringatan agar tidak terlalu ghairah dengan kemenangan yang dicapai kerana dalam perjuangan PAS, kemenangan bukanlah matlamat utama.
"Kita dah lihat banyak contoh di negara luar, apabila kita ghairah mencari kemenangan, hukum-hukum agama mula dianggap remeh. Jangan kita meletakkan kemenangan di hadapan seolah-olah kemenangan adalah matlamat kita sehingga melupakan asas perjuangan sebenar.
"Justeru, Dewan Ulama di semua peringkat mesti lebih berwibawa dan lebih banyak merancang.
"Inilah cabaran untuk kita semua kerana dalam saf perjuangan kita, ulama harus ke depan. Tanpa kepimpinan ulama, dibimbangi satu masa nanti al-Quran dan hadis akaan diketepikan.
"Kalau ulama berada di belakang nescaya kita ketinggalan dan gerakan Islam akan terumbang-ambing. Kita bimbang kerana dalam masa kemenangan inilah akan meletakkan kita lebih dekat dengan jurang api neraka sedangkan semasa kalah kita lebih dekat dengan syurga," katanya.